Wednesday, February 14, 2018

Hari ini 76 tahun yang lalu...

Hari ini, pada petang hening, 14 Februari 1942.

Sekujur tubuh kaku kelihatan tergantung di sebatang pokok di atas puncak Bukit Chandu, Singapura. Mayat yang memakai uniform Askar Melayu ini ditikam bertubi2 tanda pembalasan dendam dan marah kerana anak muda berpangkat Leftenan inilah yang mengetuai barisan gagah, ampuh, berani dan hanya maut yang membuatkan mereka berhenti dari mempertahankan Bukit Chandu, pertahanan terakhir British di Singapura sebelum ditawan Jepun. Lehernya dikelar, dan isi perutnya terburai dimamah bayonet Tentera Jepun. Mayatnya dilarang diturunkan, buat pengajaran untuk para penentang Maharaja Jepun.

Kendatipun diperlakukan sedemikian, di tangannya sendiri telah terkorban berpuluh askar Jepun. Peluru habis, parang dilibas. Parang tumpul, bayonet dikilas. Bom tangan juga telah habis dilempar ke arah musuh. Leftenan itu lebih rela berputih tulang dari berputih mata melihat posnya ditawan dan kawasan jagaannya dirampas musuh.

48 jam sebelumnya, sekumpulan Askar Melayu telah mematahkan serangan bertubi2 silih berganti Rejimen Chrysenthemum Tentera Jepun. 48 jam lamanya, Askar Melayu pimpinan beliau dari 1 Melayu, bertempur tanpa henti, berbekal semangat dan berjuang bersama Rejimen Punjabi dan saki baki British menentang keazaman Jepun menawan Singapura yang ketika itu sebahagian dari Tanah Melayu.

Jeneral Yamashita berkata selepas berjaya membunuh Leftenan Adnan dan menawan benteng terakhir Malaya di Bukit Chandu;

"Jika terdapat 10 orang Leftenan Adnan, belum pasti Malaya jatuh ke tangan Jepun."

Musuh sekalipun turut mengagumi semangat berjuang anak Melayu ini memimpin para pengawal Bukit Chandu sehingga titisan darahnya yang terakhir.

Hari ini, kita mengenang kecekalan dan pengorbanan beliau kerana pada hari ini, pada petang hening, 14 Februari, 1942, Leftenan Adnan Bin Saidi telah syahid menemui pencipta-Nya.

Innalillahiwa'innailaihiro'ji'un.

No comments:

Post a Comment